Apabila ChatGPT mula-mula dilancarkan. Saya bukanlah penggemar Ai ini. Bahkan saya agak tidak suka kerana Tiktok asyik keluar video mengatakan kelebihan ChatGPT berulang-ulang kali. Akhirnya, saya mencuba juga ChatGPT apabila menghadiri seminar menulis artikel menggunakan Ai iaitu ChatGPT. Boleh dikatakan saya antara golongan terawal menggunakan Ai ini. Tetapi saya dicadangkan oleh seseorang, agar menggunakan ChatGPT berbayar iaitu dengan harga RM100 sebulan. Saya pada mulanya sangsi kerana merasakan yang percuma sudah cukup bagus. Tetapi oleh kerana saya percayakan dia, maka saya mencubanya. Alhamdulillah, ChatGPT berbayar memanglah sangat jauh berbeza berbanding versi percuma.
Setelah itu, saya mula mencadangkan anak-anak saya menggunakan ChatGPT untuk pembelajaran mereka. Anak sulung saya pada waktu itu pada awal Tingkatan 4, dia menggunakan ChatGPT percuma, kemudian saya upgrade kepada versi berbayar. Walaupun isteri saya mencadangkan tidak perlu versi berbayar untuk anak-anak. Tapi saya berkeras dan yakin bahawa membayar RM100 sebulan jauh lebih baik dari menghadiri tuisyen yang menelan kos hampir RM400 sebulan untuk SPM. Bahkan anak saya tidak suka tuisyen kerana terlalu sibuk dengan kelas tambahan sekolah dan ia telah banyak memerah tenaga dia dan saya untuk ulang-alik ke pusat tuisyen.
Bermula dari membiasakan guna ChatGPT, anak saya mahir menggunakannya untuk mempercepatkan proses pembelajaran untuk SPM. Anak saya mahir menggunakan fungsi custom ChatGPT untuk membina persona tertentu seperti “Cikgu sejarah”, “Tutor BM” dan seterusnya supaya ia lebih spesifik dan output dari ChatGPT adalah lebih konsisten dan tepat dengan silibus SPM.
Antara kelebihan ChatGPT untuk pembelajaran SPM anak saya ialah:
- Mempercepatkan pembelajaran habis sesuatu topik. Berbanding dengan tuisyen, untuk bertanya tentang tajuk tertentu agak sukar. Begitu juga sekolah, yang lebih fokus dan struggle untuk habiskan silibus tertunggak. Maka ChatGPT sangat-sangat membantu menjawab persoalan lebih pantas dan cepat. Hasilnya anak saya sudah habis belajar semua silibus subjek SPM beberapa bulan sebelum SPM.
- Menjimatkan masa dan wang. Masa jimat kerana untuk menjawa sesuatu soalan, tidak perlu melihat youtube dan menunggu jawapan dari cikgu atau sesiapa pun. Hanya perlu bertanya dan sepantas kilat ChatGPT boleh berikan jawapan. Bahkan boleh berikan penerangan yang lebih simple dan jelas.
- Manakala wang jimat kerana kos hantar tuisyen ialah RM300-500 bergantung jumlah subjek diambil, masa, kos petrol ulang alik. Kos untuk anak saya SPM ialah RM38 (top up prepaid umobile) + langganan ilearn ace sasbadi RM350 / tahun bersamaan RM30 sebulan + langganan ChatGPT RM100 sebulan bersamaan RM50 / setiap anak (kerana kongsi 2 anak). Maka total kos hanyalah RM38 + 30 + 50 = RMRM118 bundar RM120 sahaja untuk cemerlang SPM.
Antara faktor lain cemerlang SPM anak saya ialah, belajar lebih advanced. Habiskan silibus lebih awal dari sekolah. Bermula akhir tingkatan 3, saya telah membuat perancangan agar anak saya memulakan belajar subjek matematik tambahan diikuti subjek kimia, fizik dan biologi. Seterusnya barulah subjek-subjek lain secara parallel. Ini adalah untuk memastikan dia terkedepan dan tidak hanyut dengan jadual persekolahan yang tidak berapa efektif.
Bahkan secara peribadi, saya tidak suka apabila sekolah mewajibkan hadir kelas tambahan. Bagi saya, strategi pembelajaran yang sama tidaklah sesuai untuk diaplikasi pada semua pelajar. Oleh kerana anak saya telah menyatakan hasratnya bercita-cita untuk mendapat semua A+, maka saya dengan tegas menyatakan apa master-plan yang saya akan buat dan hendaklah bersabar dan yakin. Sudah pasti anak saya juga sangsi dengan perancangan pembelajaran saya. Ia tidak menghairankan, bahkan cikgu sekolahnya juga sangsi. Hahahaha. Saya tidak peduli, kerana sejarah membuktikan, beberapa adik saya cemerlang SPM juga terbukti belajar dari saya.
Pada awal saya menggunakan ChatGPT, banyak yang tidak suka. Bahkan ditempat kerja, ada yang pernah mengherdik saya apabila saya mencadangkan menggunakan ChatGPT untuk memudahkan kerja seharian. Ada yang menyindir terang-terangan. Sekarang KPT telah mewajibkan penerapan Ai dalam pembelajaran. Setelah 3-4 tahun ChatGPT telah dilancarkan. Memang belum terlambat, tapi rasanya sudah jauh ketinggalan.
Sekarang ChatGPT telah mempunyai banyak fungsi “study mode”, “deep research” dan macam-macam lagi. Tapi bagi saya, jika tidak tahu menggunakan dengan berhemah dan dengan betul, maka output tidaklah berkualiti seperti dijangkakan.
Oh, apakah pencapaian anak saya untuk SPM 2024?
Alhamdulillah, gembiranya tidak boleh dikatakan apabila melihat results. Boleh lihat gambar di bawah. Pada mulanya saya ingin merahsiakan keputusan anak saya, tapi malangnya ia telah tersebar. Bab kata seorang kawan saya, kalau benda boleh viral, kenapa perlu rahsiakan.


Saya bersyukur kerana anak saya akhirnya telah mencapai apa yang ditarget sebelum ini. Walaupun tidak tinggal di asrama, berjaya mendapat pengecualian dari hadir kelas tambahan (setelah 2x surat dihantar) demi belajar sendiri ikut perancangan saya dan berhempas pulas belajar bersungguh-sungguh. Keputusan yang diperolehi telah berjaya memecahkan rekod yang tidak pernah dicapai selama 11 tahun sejak penubuhan sekolah Al-Maarif.
Oleh itu, jika sesiapa berminat untuk sesi perkongsian dengan anak saya. Maka bolehlah menghubungi saya. Tapi saya mengharapkan agar diberikan sedikit upah bayaran kepada anak saya untuk menambah duit poketnya untuk belanja di matrikulasi. Tiada jaminan akan berjaya, tetapi boleh la dengar pengalaman sebenar semoga beroleh beberapa tips berkesan untuk melongjakkan lagi kejayaan SPM untuk anak-anak.
Boleh email kepada saya untuk sebarang pertanyaan di alamat email: drsolah[at]gmail.com ataupun klik link WhatsApp Saya
Leave a Reply